fb fb fb fb fb

Umat Islam perlu terus bersatu bantu Palestin- Anwar

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar terus bersatu dan memperkukuh usaha membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza dan Baitulmaqdis.

Anwar menegaskan bahawa umat Islam perlu memperkasakan diri dalam semua bidang, termasuk pendidikan dan ekonomi bagi memastikan perjuangan Palestin mendapat sokongan berterusan.

"Kita masih bertempur dalam hal-hal yang remeh dan gagal membantu umat, termasuk dalam pembangunan semula Gaza. Itu pesan pertama.

"Yang kedua, dunia mencabar, tanpa kekuatan ekonomi, tanpa kekuatan kecerdasan buatan (AI) dan digital, kita akan tertinggal dan ke belakang.

"Kita tidak hanya mencedok dan menciplak idea barat, tetapi kita perlu mengukuhkannya, dalam semangat MADANI ini dalam soal akidah, akhlak, nilai, dan ihsan kerana ini yang menentukan kita kekal dengan wajah dan keyakinan Islam," katanya ketika berucap dalam Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra di sini.

Majlis itu menjadi platform bagi rakyat Malaysia menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan melancarkan dana khas bagi pembangunan pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Bantuan itu akan disalurkan kepada Jamiah Al-Quds, madrasah, serta hospital di Baitulmaqdis bagi memastikan kelangsungan pendidikan dan kesihatan umat Islam di sana.

"Jadi, saya harap dengan usaha ini, kita dapat meningkatkan usaha, khidmat kita dan meringankan beban mereka kerana sedia maklum, masih ada sebuah universiti bernama Jamiah Al-Quds di Baitulmaqdis yang bergantung kepada bantuan umat.

"Kita akan melancarkan usaha ini pada malam ini, dan pihak kerajaan, insya-Allah, akan terus memberikan ruang dan bantuan supaya universiti itu dapat terus tegak.

"Saya telah meminta mereka berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi serta universiti tempatan dan sekolah bagi menjalinkan hubungan yang dapat memperkukuh kegiatan universiti tersebut," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM