fb fb fb fb fb

Umat Islam harus bijak, peka manfaatkan ledakan teknogi maklumat

(Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Majlis
Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di WTCKL/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Mendepani ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar, umat Islam harus bijak dan peka memanfaatkannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi memastikan setiap perilaku individu menjurus ke arah kebaikan dan tidak cenderung kepada perkara-perkara negatif.

Beliau berkata mengadu domba dan menyebarkan fitnah antara perkara negatif yang boleh membawa kepada perpecahan yang sering berlaku pada hari ini.

"Sekiranya perkara ini berterusan, umat Islam akan terus berada dalam keadaan lemah.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/BERNAMA)

"Oleh yang demikian, semangat hijrah seharusnya mengajak umat Islam merapatkan kesatuan hati dan pemikiran untuk membina jati diri yang mantap", katanya berucap sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445 H/2023 M bertemakan "Perpaduan Teras Malaysia Madani" di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

"Sesungguhnya dengan ketabahan, kecekalan dan pengorbanan, umat Islam mampu memberikan sumbangan bermakna bagi menjayakan agenda Membangun Malaysia Madani.

Beliau berkata peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW seharusnya dijadikan iktibar kepada orang ramai bahawa asas kepada perpaduan ummah adalah kesatuan umat yang kuat dan jitu dan umat yang menjiwai makna kesatuan akan sentiasa terbuka minda, berlapang dada serta saling lengkap melengkapi dan menghormati antara satu sama lain.

“Sungguhpun hijrah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW tidak berlaku lagi pada zaman ini, namun konsep penghijrahan tetap relevan untuk diterjemahkan dalam kehidupan", katanya.

Media Baharu