fb fb fb fb fb

UKM lanjut kerjasama dengan Lancaster University

Majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) lanjutan antara UKM dengan Lancaster University, United Kingdom telah diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London

KUALA LUMPUR, 26 Januari- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) lanjutan dengan Lancaster University, United Kingdom bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan kedua-dua negara.

UKM dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian lanjutan yang dimeterai menerusi inisiatif Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) itu, adalah bagi pelaksanaan ijazah dual di peringkat sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan Linguistik Gunaan.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama tersebut merupakan peluang bermakna kepada pelajar kerana walaupun fokus pembelajaran adalah bahasa Inggeris dalam konteks bahasa kedua, pelajar akan turut didedahkan kepada persekitaran bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama di United Kingdom.

“Kolaborasi ini juga bakal meningkatkan keserlahan UKM di peringkat antarabangsa dalam bidang Pendidikan TESL menerusi pengetahuan kandungan linguistik secara langsung daripada pakar bahasa di Lancaster University. Dengan memanfaatkan kepakaran ahli akademik dan penyelidik tersohor dari Lancaster University, UKM dapat melahirkan graduan tempatan yang berdaya saing di peringkat global.

“Beberapa aktiviti pendidikan dan pengajaran telah dijalankan seperti persidangan antarabangsa, lawatan penyelidikan dan penganjuran International Summer School with TESOL Component,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua institusi ini telah bermula pada 2021 dan inisiatif berkenaan sejajar dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengantarabangsakan pendidikan negara bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia berkualiti di peringkat global.

"Perjanjian ini akan membawa impak besar kepada negara terutamanya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UKM yang akan memperkasa agenda pengantarabangsaan universiti.

"Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen UKM dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa menerusi bidang pendidikan tinggi dan menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan serta teknologi global," katanya.

Datuk Dr Mohd Ekhwan menekankan kerjasama itu akan turut meningkatkan peluang UKM dalam menghasilkan graduan dan warga akademik yang berdaya saing dengan peluang interaksi di peringkat global melalui program mobiliti atau pembinaan kapasiti.

Beliau berkata ia juga akan merancakkan program silang budaya yang akan mendorong kepada penjanaan ekonomi bagi kedua-dua negara yang terlibat.

Majlis berkenaan diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London semalam melibatkan pertukaran dokumen perjanjian oleh Datuk Dr Mohd Ekhwan dan Prof Jonathan Culpeper mewakili Pro Naib Canselor Global Lancaster University, dengan disaksikan Datuk Seri Dr Zambry serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakri Jaafar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE