ALOR SETAR, 2 Disember- Ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 melibatkan 28,953 calon di Kedah termasuk 532 calon terjejas banjir, berjalan lancar.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Ruji Ubi berkata, seramai 188 calon SPM terjejas banjir di negeri itu ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) manakala bakinya berada di rumah saudara masing-masing.
"Yang terkesan 532 orang, namun lebih 7,000 menduduki ujian lisan Bahasa Melayu pada sebelah pagi dan petang. Alhamdulillah hari ini kesemuanya menduduki peperiksaan di 264 pusat peperiksaan di 204 sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan Ujian bertutur Bahasa Melayu di SMK Tunku Malik di sini.
Terdahulu beliau turut meninjau SMKAK, SMK Alor Janggus dan SMK Seri Gunong.
KPM menempatkan calon-calon SPM di asrama dan pusat peperiksaan ditetapkan bagi memudahkan calon menduduki peperiksaan itu dengan selesa dan selamat.
Ia berikutan lokasi berkenaan dilengkapi dengan kemudahan asas, bahan pembelajaran, alat tulis, dan kelengkapan lain diperlukan termasuk guru kaunseling dan guru dari sekolah terjejas banjir.
Dalam pada itu sekiranya banjir berlaku sehingga tempoh ujian bertulis yang bermula awal Januari hingga Februari, KPM bersedia untuk memindahkan calon ke asrama SMKAK yang mampu menempatkan sehingga 800 pelajar.