fb fb fb fb fb

UiTM Perlis perkenal teknologi MBES bantu tangani isu marin

FOTO UiTM Perlis

KUALA PERLIS, 27 September - Teknologi Multibeam Echosounder (MBES) berpotensi menjadi jawapan kepada pelbagai isu berkaitan marin termasuk kebocoran paip, perairan cetek dan pemendapan empangan.

Perkara itu diketengahkan melalui program “Show & Tell: Preview for Perfect Multibeam Echosounder (MBES) Survey” anjuran UiTM Cawangan Perlis, yang berlangsung di Kuala Perlis.

Program itu digerakkan oleh Fakulti Alam Bina dan Fakulti Sains Gunaan (Teknologi Marin) UiTM Perlis melalui kumpulan penyelidikan Ocean Mapping & Marine Geospatial Research Group (OMMAR) dan Ocean Research, Conservation & Advances (ORCA), dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis sebagai tuan rumah serta sokongan rakan industri THS Geoscience Sdn Bhd dan Technovita Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Program, Tengku Afrizal Tengku Ali, bengkel tersebut yang pertama seumpamanya di utara negara bukan sekadar latihan, tetapi demonstrasi sebenar bagaimana MBES berfungsi.

“Masalah perairan cetek di Kuala Perlis, kebocoran paip bekalan air ke Langkawi, pemendapan di empangan serta keperluan data hidraulik oleh NAHRIM, semua ini memerlukan data marin yang tepat dan konsisten. MBES memberikan jawapan dan membolehkan agensi membuat keputusan lebih berkesan,” katanya.

Peserta turut menyaksikan demonstrasi pengumpulan data MBES di perairan Kuala Perlis menggunakan bot UiTM yang diubah suai menjadi platform hidrografi canggih. Ia dilengkapi sistem MBES, POS MV, sistem pembetulan posisi Fugro MarineStar, serta Starlink yang membolehkan agensi jemputan mengikuti sesi live streaming sementara menunggu giliran menaiki bot.

Program tersebut dijangka menjadi batu loncatan kepada kerjasama jangka panjang antara UiTM, industri dan agensi kerajaan dalam membangunkan ekosistem data marin yang mampan di utara Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE