fb fb fb fb fb

UiTM IPT pertama terima Anugerah Pencipta Perak

Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin (Naib Canselor UiTM) bersama Prof Dr. Ismie Roha Mohamed Jais (Penolong Naib Canselor Pejabat Komunikasi Strategik), En. Norhilman Nordin dan staf Unit Media kreatif menerima Anugerah Pencipta Perak (Silver Creator Award) daripada YouTube

SHAH ALAM, 25 Disember- Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang menerima Anugerah Pencipta Perak (Silver Creator Award) daripada YouTube.

UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu selepas saluran rasmi UiTM Channel melepasi 100,000 langganan pada pertengahan September 2024.

UiTM Channel, yang mula beroperasi pada 1 April 2013, kini mempunyai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 penerbitan video.

"Saluran ini bukan hanya menyampaikan maklumat berbentuk video kepada komuniti universiti dan masyarakat awam, tetapi turut menjadi platform penstriman langsung yang mendapat tontonan tinggi, termasuk semasa Istiadat Konvokesyen UiTM.

"Saluran ini diuruskan oleh pasukan daripada Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM, membuktikan usaha strategik universiti dalam memanfaatkan media digital," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, UiTM telah mula menjana pendapatan sejak awal tahun 2020 dan terus memperluas kandungan kreatif serta inovatif yang memberi manfaat.

UiTM juga menerima verifikasi rasmi daripada YouTube dan TikTok sekali gus memperkukuh kredibiliti universiti itu menerusi dunia digital.

"UiTM berbangga dengan pencapaian ini, yang mencerminkan visi universiti untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital.

"Dengan sokongan pelbagai pihak, UiTM Channel dijangka akan terus berkembang sebagai platform utama untuk menyampaikan kandungan kreatif dan berimpak tinggi," tambah kenyataan itu.

Pencapaian itu dilihat sebagai satu pencapaian dan menunjukkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasa komuniti universiti dan masyarakat melalui inovasi teknologi serta media digital.

UiTM Channel mula beroperasi pada 1 April 2013, kini mempunyai lebih 21 juta tontonan menerusi penghasilan lebih 1,900 video.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI