UiTM dipilih projek perintis nasional kampus pintar, meterai kerjasama digital strategik

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (tengah) hadir menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman kerjasama eksklusif antara Neura Sdn Bhd dan Colla Connecting Edge Sdn Bhd/ RTM

KUALA LUMPUR 5 Februari – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengorak langkah sebagai peneraju transformasi digital pendidikan tinggi negara apabila dipilih sebagai projek perintis nasional pembangunan kampus pintar menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman kerjasama eksklusif antara anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd, Neura Sdn Bhd dan Colla Connecting Edge Sdn Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • UiTM dipilih sebagai platform awal untuk membangunkan, menguji dan memuktamadkan model kampus pintar sebelum pengembangan ke IPTA lain.
  • Kerjasama strategik Neura dan Colla fokus kepada infrastruktur telekomunikasi, rangkaian berkinerja tinggi dan IoT diperkasakan AI.
  • Pendekatan bersepadu sokong operasi kampus, pemantauan, keselamatan dan pengurusan perkhidmatan digital secara pintar dan berpusat.
  • Projek ini dijangka menjadi pemangkin ekosistem kampus pintar mampan serta memperkukuh kesiapsiagaan pendidikan tinggi menghadapi cabaran teknologi.

Ia sekali gus menandakan satu langkah strategik ke arah memperkukuh kesalinghubungan digital kampus selaras agenda transformasi pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi itu menyaksikan UiTM dipilih sebagai platform awal untuk membangunkan, menguji dan memuktamadkan model kampus berhubung sebelum diperluaskan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di seluruh negara.

“UiTM amat berbesar hati dipilih sebagai projek perintis nasional. Inisiatif ini diyakini mampu meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan serta perkhidmatan digital universiti secara lebih cekap dan bersepadu. Kerjasama strategik ini melibatkan anak syarikat UiTM Holdings, Neura Sdn Bhd bersama rakan industri Colla Connecting Edge Sdn Bhd, dengan fokus kepada pembangunan ekosistem kampus pintar berasaskan teknologi terkini.

“Ia merangkumi tiga teras utama, iaitu pembangunan infrastruktur telekomunikasi, penyediaan rangkaian dan ketersambungan kampus berprestasi tinggi, serta pembangunan kandungan Internet Benda atau IoT yang diperkasakan dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman kerjasama eksklusif antara Neura Sdn Bhd dan Colla Connecting Edge Sdn Bhd di World Trade Centre, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta Pengerusi UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil selain barisan pengurusan tertinggi universiti dan rakan industri.

Pendekatan bersepadu itu dijangka menyokong operasi kampus, sistem pemantauan, keselamatan serta pengurusan perkhidmatan digital secara pintar dan berpusat, sekali gus memastikan liputan digital menyeluruh di seluruh kampus.

Sebagai projek perintis nasional, UiTM akan berperanan sebagai penanda aras, termasuk dari segi spesifikasi teknikal, model pelaksanaan dan tadbir urus, sebelum pelaksanaan diperluaskan secara berperingkat ke IPTA lain.

Kerjasama universiti dan industri itu diyakini menjadi pemangkin pembentukan ekosistem kampus pintar yang mampan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pendidikan tinggi negara menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

Pemeteraian tersebut turut menyokong aspirasi nasional dalam memperkasa pendigitalan sektor pendidikan, seiring usaha melahirkan graduan berdaya saing dalam era ekonomi digital.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan