KUBANG PASU, 15 Januari– Lima penunggang motosikal dikenakan tindakan disita kenderaan masing-masing kerana mengubah suai ekzos motosikal sehingga mengeluarkan bunyi bising dalam Operasi Bersepadu Motosikal malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata operasi selama tiga jam itu bermula pukul 5.00 petang diadakan di sekitar Pekan Air Hitam Jalan Alor Setar- Kangar.
Sebanyak 102 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi diketuai Penguat kuasa Trafik Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik IPD Kubang Pasu bersama sepasukan anggota Balai Polis Air Hitam.
Motosikal tersebut disita dibawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.
"Bagi kesalahan ubah suai pada ekzos, tindakan susulan akan dibuat dengan merampas ekzos-ekzos yang telah diubahsuai setelah pemeriksaan dari pihak teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS) setelah mengesahkan paras bunyi kenderaan yang disita melebihi piawaian yang telah ditetapkan", menurut kenyataan itu.
Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan jika tidak mematuhi undang-undang serta akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.