BAGAN DATUK, 12 Mei - Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus dikendali 12 kementerian dan agensi berbanding cadangan tiga agensi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memutuskan Majlis TVET Negara akan menyelaras aktiviti pendidikan TVET di 12 kementerian terlibat.
Beliau berpadangan, penyelarasan ketika ini telah dilakukan dengan baik dan mengikut acuan sedia ada meskipun wujud cadangan untuk menghadkan jumlah kementerian yang terlibat.
"Penyelarasan ini telah dilakukan dengan baik biarpun ada saranan agar jumlah kementerian terlibat ini akan dikurangkan. Namun saya merasakan biarlah ianya berjalan dengan acuan yang ada tetapi diselarasakan agar tidak berlaku pertindihan kursus dan juga tidak berlaku perebutan tempat untuk masuk ke kursus-kursus," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kelompok Persidangan UMNO Cawangan Bahagian, di sini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Saifuddin Abdullah mencadangkan program TVET dihadkan kepada tiga kementerian.