fb fb fb fb fb

TVET: Pembangunan fasiliti & tenaga pengajar wajar diberi perhatian

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Pembangunan fasiliti dan tenaga pengajar antara perkara yang wajar diberi perhatian menerusi peruntukan tambahan bernilai RM200 juta untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan, kemudahan peralatan latihan berteknologi tinggi penting dalam institusi berkaitan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

"Saya fikir kita harus juga melihat peruntukan tersebut digunakan juga dalam konteks pembangunan peralatan dan juga tenaga pengajar kerana kerana dalam hal pembangunan TVET ini, elemen peralatan menjadi satu keperluan mendesak.

"... dan hari ini teknologi telah mengubah cara bekerja seharusnya kita melengkapkan bakat-bakat tempatan kita dengan teknologi terkini", katanya kepada RTM.

Peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

ROSLINA BINTI DIN