SEPANG, 29 November - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memperkasa program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) yang menjadi penghubung antara institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian memerlukan lebih banyak industri untuk turut terbabit dalam pelaksanaan WBL pada masa hadapan.
Beliau berkata, ketika ini, WBL hanya tertumpu kepada beberapa bidang seperti pembinaan, kejuruteraan, reka bentuk visual dan komunikasi, logistik, hospitaliti serta keusahawanan.
"Kita memerlukan kerjasama industri untuk kita memperkenalkan satu program yang mana dalam masa seseorang itu sedang bekerja dia boleh juga belajar dan menerima penawaran program-program Politeknik. Pada masa dia bekerja dan dicantumkan dengan apa yang dia belajar maka dia akan mendapat diploma atau pun ijazah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi Bersama PIAC 2023, di sini.
Tambah Mohamed Khaled, pihaknya juga menyasarkan 95 peratus graduan Politeknik akan mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dengan memperoleh pendapatan yang progresif.