fb fb fb fb fb

Tuntutan Sulu penipuan undang-undang antarabangsa - Pakar

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 7 April- Sekretariat Khas Sulu pada 8 Mac 2023 menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf timbang tara komersial yang dimulakan oleh penuntut yang mengaku sebagai waris kumpulan Sulu.

Tindakan tuntutan tersebut juga tidak rasional kerana berlakunya pencerobohan Lahad Datu yang diklasifikasikan sebagai ancaman kepada negara.

Bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rohimi Shapiee berkata, keputusan timbang tara itu juga telah membawa kepada tindakan waris Sulu cuba merampas aset negara dalam membuat tuntutan bayaran.

"Apabila sesuatu keputusan timbang tara telah diperoleh di luar negara, Sulu mahu ia dikuatkuasakan di Malaysia. Tapi ia mustahil boleh dikuatkuasakan di Malaysia.

"Untuk mendapatkan hasil keputusan (timbang tara) jadi mereka mencari aset-aset Kerajaan Malaysia lain di dunia. Mereka telah mengenalpasti di Luxembourg ada aset Petronas," katanya.

Sementara itu, dakwaan oleh waris Kesultanan Sulu kononnya Malaysia telah melanggar Perjanjian 1878 adalah tidak berasas berikutan tindakan menceroboh Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan nyawa manusia tidak berdosa adalah lebih bersifat radikal.

Malah, jelas Pakar Sejarah Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Bilcher Bala, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Malaysia jelas menunjukkan tuntutan mereka adalah ditolak.

"Hakikatnya perbuatan mereka ini adalah bersifat penipuan undang-undang antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia, sedangkan ICJ tidak melayan kes tuntutan Sulu pada 1968 atas sebab ia merupakan isu tuntutan berstatus hak pemilikan persendirian.

"ICJ hanya menimbang kes tuntutan hak kedaulatan atau hak pemilikan antara negara dengan negara, bukannya antara negara dengan individu persendirian," katanya.

Malaysia beberapa kali menegaskan tidak mengiktiraf mahu pun melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Malah, kerajaan Malaysia juga tetap komited bahawa kedaulatan Sabah secara khususnya dan Malaysia secara amnya akan terus dipertahankan.

Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan pada 14 Mac 2023 telah menyatakan bahawa Malaysia sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang tuntutan kumpulan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara.

(Dr Rohimi Shapiee/Prof Madya Dr Bilcher Bala)

Media Baharu