KUALA LUMPUR, 13 November- Tuntutan kumpulan Sulu yang mendakwa mereka bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah termasuk menyewakannya kepada negara lain, disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan Malaysia akan melawan tuntutan itu.
"Tapi kita negara berdaulat dan merdeka pada 1957 dan Sabah sebahagian daripada kita. Kita ada Cobbold Commision dan Referendum. Jadi, bila dia cakap perkara-perkara semua yang pada saya tidak masuk akal, tapi sebagai peguam dia ada hak.
"Kalau dia rasa anak guam dia ada hak... itu percakapan dia, tapi jawapan saya... cubalah, kita akan lawan", katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kuala Lumpur Forum on International Arbitration 2024.
Beliau mengulas mengenai kenyataan peguam utama yang mewakili kumpulan Sulu, Paul Cohen, mendakwa kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Perancis sebagai keputusan yang “makan diri sendiri” dan mereka kini bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah.
Sementara itu, individu yang mahu melaporkan sebarang kesalahan perlu melalui agensi yang bertanggungjawab, sebelum layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Jelas Datuk Seri Azalina, itu adalah prosedur yang termaktub di bawah akta terbabit.
"Dalam akta pemberi maklumat, kalau sesiapa rasa perkara kesalahan berlaku, dia perlu memaklumkan kepada agensi bertanggungjawab. Contohnya, kalau kesalahan rasuah... dia perlu memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dahulu, agensi menerima laporan dia.
"... dan kemudian akan membuat keputusan sama ada dia ini dilihat sebagai 'whistle blower' atau tak. Kita tidak boleh, bila kita tahu maklumat, kita tidak buat laporan kepada agensi bertanggungjawab, tiba-tiba kita hendak perlindungan", ujarnya.