fb fb fb fb fb

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik Pemangku Sultan Johor hari ini

Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU, 28 Januari - Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini dan berkuat kuasa sepanjang tempoh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.

Pelantikan dilakukan selepas diperkenan Sultan Ibrahim dan menerima nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis Diraja Johor dan kuasa serta mengikut Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menerusi kenyataan Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, Sultan Ibrahim juga berkenan memberi gelaran kehormatan kepada Tunku Ismail iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Manakala dalam Bahasa Inggeris ia disebut sebagai 'His Royal Highness Tunku Ismail, The Regent Of Johor'.

Majlis pelantikan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail, diadakan di Istana Bukit Serene, di sini pagi tadi.

Tunku Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984 di sini merupakan putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.

TETITIA YUSOFF