fb fb fb fb fb

Tunda pembedahan, JKN Kedah siasat punca sebenar

ALOR SETAR, 24 Ogos - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang menyiasat punca sebenar berhubung isu penundaan pembedahan seorang pesakit di Hospital Kulim, baru-baru ini.

Pengarah, Dr Othman Warijo berkata siasatan itu sebagai tindakan segera susulan hantaran ‘isu Hospital Kulim memang makin menjadi-jadi sekarang’ oleh seorang individu yang tular di media sosial, semalam.

(Dr Othman Warijo)

"Berikutan itu, pihak pengurusan Hospital Kulim sudah menghubungi pengadu melalui telefon dan menerangkan situasi sebenar dan kita memohon maaf kepada pesakit dan keluarganya berikutan masalah yang terjadi.

"Pengadu juga menerima penjelasan dengan baik, seterusnya bersetuju memadam hantaran yang ditulis di laman sosialnya sebelum ini," katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan bahawa pihak hospital menunda tiga kali pembedahan seorang pesakit berdasarkan aduan dibuat pengadu.

"Kita sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden, seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan agar isu seumpama tidak berulang dan proses janji temu bagi pembedahan menjadi lebih cekap serta mesra pelanggan.

"Ingin dijelaskan dalam tempoh pemulihan perkhidmatan, kes yang memerlukan pembedahan segera dan kecemasan seperti kes berkaitan trauma, kanser dan pembedahan caesarean serta kes yang tertangguh ketika tempoh pandemik lalu, akan diberi keutamaan berbanding kes lain," katanya.

Semalam, seorang pengadu mendakwa tarikh pembedahan bagi membuang ketulan di atas bahu adiknya di Hospital Kulim terpaksa ditunda tiga kali bermula 24 Julai, 3 Ogos dan 24 Ogos lalu, tanpa diberi alasan kukuh menyebabkan kesulitan kepada keluarganya.

Media Baharu