Tun Mahathir kembali dirawat di IJN selepas cuti rawatan di rumah

Foto Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kembali menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dibenarkan menjalani cuti rawatan di rumah selama dua hari susulan tahap pemulihan yang memuaskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tahap pemulihan Tun Dr Mahathir di IJN memuaskan menurut pasukan perubatan.
  • Beliau dibenarkan menjalani cuti rawatan di rumah selama dua hari pada 4 dan 5 Februari.
  • Masih di bawah pemantauan IJN dan kembali ke hospital untuk meneruskan rawatan.
  • Nasihat agar tidak menerima pelawat kecuali ahli keluarga terdekat diteruskan.

Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff berkata pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan tahap pemulihan bekas Perdana Menteri itu serta responsnya terhadap rawatan dan fisioterapi.

“Hari ini genap sebulan Tun Dr Mahathir dirawat dan sejak dua hari yang lepas pada 4 dan Februari, Tun Dr Mahathirtelah dibenarkan “home leave” iaitu pulang dan tidur di kediaman beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, Tun Dr Mahathir kembali ke IJN pagi ini bagi meneruskan rawatan dan menjalani pemantauan oleh pasukan perubatan.

“Walaupun dibenarkan pulang secara berperingkat, beliau masih berada di bawah pemerhatian pasukan perubatan IJN,” kata Sufi.

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir dan keluarga turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang terus mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.

“Pasukan perubatan masih menasihatkan Tun Dr Mahathir agar tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali ahli keluarga terdekat,” katanya.

Negarawan berusia 100 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan di sini dan disahkan mengalami patah pada pinggul kanan.