KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Perbicaraan kes saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersambung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguhkan ke 29 Oktober selepas bekas perdana menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke IJN petang semalam kerana mengalami jangkitan lower respiratory tract infection (LRTI).
"Oleh itu anak guam saya diberi sijil cuti sakit sehingga 25 Oktober ini. Saya mohon agar perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan," kata peguam itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong kemudian menetapkan 29 dan 30 Oktober serta 5, 6 dan 9 Disember ini untuk menyambung perbicaraan.
Dr Mahathir selaku plaintif masih memberi keterangan dalam kes samannya terhadap timbalan perdana menteri itu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu 'kutty'.
Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian yang boleh diakses oleh pengguna internet tanpa sebarang sekatan. -BERNAMA