fb fb fb fb fb

Tumpu usaha naik taraf kemudahan rakyat, tingkat mutu perkhidmatan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

BANTING, 18 November- Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta untuk menumpukan usaha menaik taraf kemudahan asas rakyat pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata PBT perlu menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada simpanan kewangan bagi tujuan tersebut, sekali gus dapat meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan untuk rakyat.

"Ada banyak program pembangunan infrastruktur yang kita sambung, ia merujuk kepada projek-projek sambungan seperti projek tebatan banjir, projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan infrastruktur seperti jalan yang telah saya bentangkan di Dewan Negeri.

"Pada masa sama, sebagaimana pengumuman dalam Dewan Negeri, selain daripada apa yang telah dibajetkan oleh semua pihak berkuasa tempatan, saya juga mahu 10 peratus daripada simpanan mereka digunakan, minimum untuk menaik taraf kemudahan seperti balai raya, dewan dan kemudahan yang lain.

"Dan pelarasan-perlarasan ini perlu diadakan kerana infrastruktur asas perlu diperkemas supaya rakyat bukan saja menikmati kemodenan yang dicapai, tetapi juga dapat keselesaan yang dapat disiapkan oleh infrastruktur dan kemudahan awam yang sedia ada", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Banting.

ROSLINA BINTI DIN