PUTRAJAYA, 29 Julai- Malaysia perlu memberi fokus terhadap sektor bernilai tinggi seperti penciptaan dan reka bentuk cip jika ingin mengembalikan status sebagai Harimau Asia.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia juga mampu dicapai sekiranya ekonomi negara mencatat empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika.
"Jadi ini adalah perkara-perkara piawai yang lebih mudah..jadi kalau soal harimau ini dia tiada piawai, tetapi pelabur ini melihat kepada potensi masa depan.
"Jadi Malaysia berpotensi untuk tumbuh dengan baik, kemudian berada dalam sektor masa depan sudah tentu kita dilihat sebagai negara yang berpotensi untuk jadi harimaulah," katanya selepas majlis pelancaran Penemuan Banci Ekonomi 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di sini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia.
Pada majlis tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam ucapannya berkata, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) meningkat 1.6 peratus pada Jun 2024 berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya .
Katanya, semua sektor dalam IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan sejak Mac 2024.