CYBERJAYA, 28 November- Tujuh stesen pemancar dan 42 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) masih terjejas akibat banjir yang melanda negeri Kelantan dan Terengganu.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), setakat pukul 10.00 pagi tadi, enam stesen pemancar di Kelantan terjejas iaitu di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala di Terengganu, sebuah stesen pemancar terjejas di Hulu Terengganu.
Selain itu, 42 NADI yang terjejas terdiri daripada 27 di Kelantan dan 15 di Terengganu. Kesemua NADI tersebut terpaksa ditutup akibat ditenggelami air dan gangguan bekalan elektrik, selain akses ke lokasi yang terhalang.
"Bagi memastikan penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri ini dapat terus berhubung melalui internet, MCMC negeri telah menjalankan ujian liputan di beberapa PPS untuk memastikan liputan telekomunikasi berada pada tahap yang memuaskan," menurut kenyataan MCMC di sini hari ini.
MCMC turut menambah bahawa pihaknya bersama penyedia perkhidmatan akan terus memantau keadaan dengan rapi khususnya infrastruktur telekomunikasi yang dianggap kritikal dan memastikan perkhidmatan telekomunikasi dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat.