fb fb fb fb fb

Tujuh kursus asas disediakan GiatMARA Arau, Padang Besar sempena cuti sekolah

Peserta GiatMARA yang menyertai kursus asas berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

ARAU, 30 Mei- Pusat latihan GiatMARA Arau dan Padang Besar menyediakan tujuh kursus asas kepada pelajar sekolah seluruh Perlis berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena cuti penggal persekolahan.

Kursus berkenaan mengambil masa antara satu hari sehingga dua hari itu melibatkan asas jahitan kotak pensel, asas pendawaian elektrik, asas penyaman udara, asas penjagaan kenderaan, mengubah baju kemeja dan seluar, coating lampu kereta dan asas degree wheel.

Pengarah GiatMARA Negeri Perlis Harun Radzi dalam satu kenyataan berkata, usaha itu bagi membudayakan TVET kepada para pelajar sekolah di peringkat awal dan memilih bidang kemahiran selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

"Sejak dilaksanakan pada permulaan cuti penggal persekolahan kali ini, lebih 50 pelajar sekolah menengah mengikuti kursus asas yang ditawarkan kedua-dua pusat latihan GiatMARA.

"Antara kursus yang mendapat perhatian ialah Kursus Asas Jahitan Kotak Pensel melibatkan 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan yang dikendalikan tiga orang tenaga pengajar berpengalaman," katanya.

Menerusi pendekatan itu, GiatMARA berharap lebih ramai lepasan SPM memilih latihan bidang TVET di negeri berkenaan.

Dalam pada itu GiatMARA Kangar, Arau dan Padang Besar juga menawarkan 11 kursus bagi tempoh antara tiga bulan hingga setahun yang menyediakan peluang pekerjaan yang luas dalam pelbagai sektor industri.

Kebolehpasaran graduan GiatMARA melebihi 90 peratus secara keseluruhannya sejak 1987 sehingga kini.

GiatMARA di Perlis telah melahirkan hampir 9,000 pelatih berkemahiran tinggi yang kini terlibat dalam pelbagai sektor pekerjaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI