
RANTAU, 28 Mac -Tujuh kapal milik Malaysia terkandas di Selat Hormuz dan kini menunggu kebenaran untuk melalui laluan tersebut susulan situasi tegang di rantau berkenaan.
- Kapal-kapal tidak ditahan; menunggu masa sesuai dan selamat sebelum meneruskan pelayaran.
- Menteri mengadakan rundingan; Perdana Menteri turut menghubungi, Iran dilaporkan bersikap positif membenarkan laluan.
- Kapal tangki Malaysia, termasuk milik Petronas, MISC dan Sapura Energy, telah mendapat pengesahan untuk bergerak.
- Pergerakan bergantung kepada keadaan semasa dan waktu keselamatan Iran; rakyat merancang umrah dinasihat berhati-hati, penerbangan ke Arab Saudi masih berjalan.
Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Hasan berkata, kapal-kapal berkenaan tidak ditahan sebaliknya menunggu masa yang sesuai dan selamat untuk meneruskan
pelayaran.
“Saya telah melakukan rundingan awal dengan rakan sejawat saya, yang kemudian diikuti dengan panggilan telefon oleh Perdana Menteri. Setelah saya memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kerajaan Iran bersikap positif terhadap permohonan kita, kedua-dua pihak, saya dan Perdana Menteri telah menghubungi pihak Iran.
“Pihak Iran menyatakan bahawa mereka tiada sebarang isu dan membenarkan kapal-kapal Malaysia melalui laluan itu dengan segera. Pada masa itu, kapal-kapal yang terlibat termasuk kapal kargo yang membawa baja dan kontena. Sementara itu, tujuh kapal tangki Malaysia, termasuk milik Petronas, MISC, Sapura Energy, serta satu lagi milik syarikat swasta, kini telah mendapat pengesahan untuk bergerak,” katanya kepada media di Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Rantau, di sini.
Kesemua kapal tersebut dijangka boleh bergerak pada bila-bila masa, bergantung kepada keadaan semasa dan waktu keselamatan yang ditetapkan oleh pihak Iran.
Pada masa sama, rakyat Malaysia yang merancang menunaikan umrah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan situasi keselamatan di rantau berkenaan.
Walaupun penerbangan ke Arab Saudi masih berjalan seperti biasa, orang ramai digalakkan menangguhkan perjalanan sekiranya tiada keperluan mendesak.
Sementara itu, Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina bagi menolak tuntutan yang dibangkitkan berhubung Sabah.
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu bukan baharu dan sering dibangkitkan segelintir ahli politik Filipina bagi mengalihkan perhatian daripada isu dalaman negara mereka.
Tegas beliau, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian sah daripada Persekutuan Malaysia.
“Kita menolak sebarang nota atau kenyataan yang dibuat kerana ia tidak berasas. Hakikatnya, Sabah telah pun membuat pilihan melalui Suruhanjaya Cobbold, yang telah diperakukan dan dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta dibentangkan di Majlis Keselamatan. Keputusan tersebut mencerminkan kehendak rakyat Sabah, maka tidak timbul lagi soal sebarang tuntutan selepas itu,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Senator Filipina, Robin Padilla, menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.