
KUALA LUMPUR, 4 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah keras tuduhan kononnya Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia.
- Perdana Menteri menolak tuduhan penyerahan tanah 5,207 hektar sebagai tipu daya yang disengajakan.
- Penentuan sempadan dibuat berdasarkan perjanjian dan konvensyen berkuat kuasa, bukan pampasan atau untung rugi.
- Kerajaan bertindak menurut undang-undang dan perjanjian yang jelas dalam isu persempadanan.
- Malaysia menghormati kesepakatan bersama dengan Indonesia dalam isu sempadan semula.
Beliau menegaskan ia merupakan penipuan yang sengaja diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tambah Datuk Seri Anwar, penentuan sempadan tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti yang didakwa, sebaliknya berdasarkan perjanjian dan konvensyen yang berkuat kuasa.
“Secara dasarnya, pendirian kerajaan jelas tertakluk kepada undang-undang, perjanjian dan konvensyen yang berkuat kuasa.
“Jarak keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia dan Indonesia dianggarkan sepanjang 2,064 kilometer dan dibahagikan kepada dua sektor,” jelasnya pada sesi Penerangan Khas Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menekankan Malaysia amat menghormati kesepakatan bersama sebagai negara sahabat dengan Indonesia termasuk dalam isu persempadanan semula.
“Kita kena jaga hubungan kita dengan Indonesia sejak 1974 itu sangat baik. Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan menjatuhkan hukuman dan jangan juga menyinggung perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha menjadikan hubungan antara kedua-dua negara sangat baik dan akrab,” katanya.