PUTRAJAYA, 15 November - Tuduhan pihak pembangkang bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Israel sebagai tidak berasas dan keterlaluan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan pendirian Malaysia dalam isu Palestin kekal jelas dan tegas, terutama dalam memperjuangkan keadilan dan menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.
"Apabila kita teliti keseluruhan atau lebih daripada apa yang disunting, saya kenal watak-watak yang menyunting ini. Mereka sememangnya bersifat sedemikian.
"Di sini, mereka telah melakukan satu kesilapan dengan mendakwa bahawa Perdana Menteri mengubah pendirian mengenai ucapan takziah beliau atas pembunuhan Ismail Haniyeh oleh pihak anti-kumpulan Hamas," kata Fahmi dalam sidang media mingguan, di sini.
Fahmi mengulas tindakan pihak yang menyunting video temubual Anwar bersama media antarabangsa mengenai konflik Israel-Palestin.
Fahmi dalam pada itu, turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti kandungan laporan berkenaan.
Jika terdapat elemen fitnah, tindakan undang-undang perlu diambil.
“Kita akan minta MCMC untuk meneliti dan sekiranya ada tindakan yang boleh diambil berdasarkan undang-undang, kita akan ambil. Saya tegaskan bahawa kerajaan tidak berniat untuk menghalang laporan, tetapi perlu berhati-hati terhadap spekulasi yang digambarkan seolah-olah fakta,” katanya.