KUANTAN, 21 Oktober - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan latihan demonstrasi tempur melibatkan pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) di Pantai Hiburan, Rompin mulai esok hingga 25 Oktober nanti.
Menurut TUDM, demonstrasi itu diadakan bersempena Upacara Pengurniaan Beret Biru PASKAU dan Majlis Penutup Kursus Komando TUDM pada 26 Oktober bagi anggota yang menamatkan latihan tersebut.
"Demonstrasi itu bagi mempamerkan keupayaan dan kesiagaan aset, juruterbang, anak kapal serta anggota PASKAU dalam melaksanakan serangan ke atas kawasan musuh dan operasi menyelamat tebusan.
"Orang awam di sekitar Rompin juga dinasihatkan supaya tidak panik dan risau sekiranya melihat pesawat terbang rendah atau mendengar bunyi letupan sepanjang latihan dijalankan.
"TUDM turut menasihatkan orang awam yang hadir dan meletakkan kenderaan di sekitar Pantai Hiburan agar membuka sedikit cermin tingkap kenderaan bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini akibat impak bunyi letupan semasa demonstrasi dijalankan," menurut kenyataan itu.