fb fb fb fb fb

Transformasi digital, semua pihak perlu main peranan bersama - Gobind

PUTRAJAYA, 23 April- Semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama dalam menjayakan setiap inisiatif yang akan dilaksanakan Kementerian Digital.

Menterinya, Gobind Singh Deo memaklumkan beliau sangat menghargai komitmen yang ditunjukkan setiap kakitangan kementeriannya dalam merealisasikan setiap rancangan yang telah dirangka dalam tempoh lima bulan penubuhannya.

"Oleh kerana kita adalah kementerian yang baharu, memang banyak yang perlu kita laksanakan. Kita dalam proses dan saya kerap kali mengingatkan semua bahawa memang banyak kerja yang perlu kita laksanakan menuju ke depan."

"Saya berharap kita dapat melihat kerjasama yang kukuh dalam kita merealisasikan objektif kita," kata Gobind kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Digital 2024, di sini.

Turut hadir memeriahkan sambutan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu julung kali diadakan sejak penubuhan kementerian itu pada Disember tahun lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM