fb fb fb fb fb

Tragedi bot regata karam: Mayat lima mangsa ditemukan

Ketua Polis Daerah Kuching, Mohamad Farhan Lee Abdullah / Foto Bernama

KUCHING, 20 Oktober – Mayat kesemua lima mangsa yang terlibat dalam insiden bot regata karam semasa sesi latihan di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, telah ditemukan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata mayat pertama yang dijumpai adalah Mohammad Ikhmal Sama'ail, 34, pada pukul 6.16 pagi.

“Mangsa pertama ditemukan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi bot dilaporkan karam, berhampiran kawasan barat. Manakala mangsa terakhir dijumpai 50 minit kemudian, pada pukul 7.09 pagi, dalam radius 500 meter dari mangsa pertama,” katanya pada sidang media, di sini.

Mangsa-mangsa lain yang turut terkorban dalam tragedi tersebut ialah Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23; dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN