IPOH, 26 April - Tradisi program bubur lambuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak pada bulan Ramadan dapat mengukuhkan hubungan kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri.
Exco Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahrul Mohamed berkata kerjasama ini sangat penting sebagai nilai tambah dalam memenuhi objektif dan hala tuju kerajaan.
Jelas beliau pelaksanaan program sedemikian juga dapat memperluaskan skop rakan strategik RTM setiap tahun.
(Program bubur lambuk RTM Perak)
"Negeri maksudnya ini kerjasama RTM di bawah persekutuan dan portfolio saya di bawah negeri. Jadi kerjasama ini sebenarnya sangat penting walaupun nampak kecil tetapi cukup penting kerana ia akan menambahkan lagi nilai hasrat dan tujuan kerajaan kita dalam memenuhi objektif dan juga hala tuju," menurut Khairul di sini selepas menghadiri program memasak Bubur Lambuk Perak fm di sini.
Dalam program tersebut RTM Perak dengan kerjasama ADABI dan beberapa agensi kerajaan negeri lain mengadakan gotong-royong memasak dan mengedar bubur lambuk buat komuniti.
"Kali ni kita berkolaborasi dengan RTM Perak. Ini bukan kali pertama tetapi sudah beberapa kali kita buat program ini, untuk hari ini sahaja ADABI menjalankan program bubur lambuk bersama RTM yang kita akan edarkan dalam 1,500 bungkusan yang kita akan berikan kepada RTM untuk diserahkan kepada komuniti," kata Pengurus Promosi dan Korporat Media ADABI, Roshidi Zabidi.