fb fb fb fb fb

TPM Zahid adakan lawatan kerja ke Bangkok dari 10-12 Disember

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand dari 10 hingga 12 Disember 2025.

Menurut Wisma Putra, menerusi rangka lawatan tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid akan mempengerusikan delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-14 Menteri-Menteri ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan serta mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (AMRDPE).

"Beliau juga dijadual menyampaikan kenyataan Menteri, yang antara lain mengetengahkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perkembangan awal kanak-kanak serta memperluas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

"Usaha ini penting bagi melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran teknikal relevan, terutama bagi menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), satu kenyataan bersama ASEAN akan dikeluarkan sejurus mesyuarat tamat.

"Selain itu, beliau turut dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul," menurut kenyataan itu.

Lawatan berkenaan dijangka mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Thailand, khususnya dalam bidang halal, pembangunan luar bandar, dan pembasmian kemiskinan.

Daripada segi perdagangan, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada tahun 2024, dengan jumlah dagangan berjumlah RM114.56 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, perdagangan dua hala telah mencapai RM98.19 bilion, meningkat berbanding RM 95.52 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM