fb fb fb fb fb

TPM Timor-Leste tiba di Malaysia untuk lawatan kerja

Foto BERNAMA

SEPANG, 3 Disember- Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 untuk memulakan lawatan kerja selama empat hari di Malaysia.

Kalbuadi Lay diiringi Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia, Joana Veneranda Amaral tiba di KLIA pada pukul 8.50 malam dan disambut Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohd Aini Atan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menjadi tuan rumah bersempena lawatan kerja Kalbuadi Lay ke Malaysia bermula hari ini sehingga Rabu.

Datuk Seri Fadillah Yusof dan Kalbuadi Lay akan mengadakan pertemuan empat mata di Putrajaya esok, bagi membincangkan status hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.

Kedua-dua rakan sejawat itu juga bakal membincangkan isu-isu antarabangsa berkepentingan bersama.

Selain itu, Kalbuadi Lay yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi membincangkan potensi-potensi kerjasama dalam sektor pelancongan kedua-dua negara.

Lawatan kerja itu dijangka akan memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, di samping mempamerkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Menurut rekod pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah berjumlah RM384.48 juta dengan peningkatan sebanyak 93.3% berbanding pada tahun 2021, sebanyak RM194.09 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM