KUALA LUMPUR, 30 Mei- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama jemaah menteri mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak yang meraikan perayaan itu.
Ahmad Zahid menerusi satu hantaran di Facebook berkata, perayaan berkenaan merupakan simbol kepelbagaian budaya yang menjadi aset penting bagi negara Malaysia serta melambangkan kesyukuran dan penghargaan kepada hasil tuaian.
"Sebagai negara berbilang kaum serta terkenal dengan keharmonian dan toleransi antara masyarakatnya, kegembiraan menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dikongsi tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
"Ia mengingatkan kita tentang pentingnya mempertahankan, menghargai kepelbagaian ini serta mengukuhkan jalinan persaudaraan antara kita, semoga perayaan tahun ini membawa kegembiraan, kesyukuran dan perpaduan yang lebih erat.
"Marilah kita terus bersatu hati dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini," katanya.
Sementara itu Fadillah menerusi hantaran di Facebook juga mengajak semua untuk meraikan Pesta Kaamatan dengan penuh kegembiraan, mengeratkan lagi silatulrahim sambil mengabadikan nilai dan adat turun temurun, menyatakan kesyukuran di atas rezeki serta hasil tuaian yang baik.
"Moga semangat meraikan semua perayaan dalam kepelbagaian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini juga akan memperkukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
"Semoga tuaian padi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan terus bertambah melimpah, membawa bersamanya kebaikan dan kemakmuran kepada semua, Kaamatan, melangkaui keterjaminan makanan," katanya.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak ketinggalan memberikan ucapan menerusi platform sama dan berharap sambutan berkenaan akan memperkukuh semangat kebersamaan dan persaudaraan, serta memelihara perpaduan dan keharmonian sedia terjalin.
Bagi Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang pula, beliau mengajak seluruh masyarakat untuk menyambut perayaan Hari Gawai dan Kaamatan sebagai tanda menghargai setiap kumpulan etnik di negara ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo pula mengharapkan semoga perayaan itu kali ini sarat dengan keamanan, kegembiraan dan kesejahteraan bersama keluarga dan sahabat handai.
"Bagi yang menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, semoga ia disambut dengan penuh ceria dan kemeriahan.
"Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan & Gayu Guru Gerai Nyamai. Selamat Hari Gawai dan semoga sambutan ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan membawa kebahagiaan, keamanan, dan tuah untuk semua," katanya.
Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat Kadazandusun di Sabah hari ini dan esok manakala Hari Gawai disambut Sabtu dan Ahad ini oleh masyarakat Dayak di Sarawak.