Tokoh Wartawan Negara terima bantuan Tabung Kasih@HAWANA

 Foto Bernama

SHAH ALAM, 16 Mac – Tokoh Wartawan Negara, Adibah Amin hari ini menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam dunia kewartawanan tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengunjungi Adibah untuk menyantuni, menyerahkan sumbangan dan merancang majlis peringatan pada April.
  • Adibah, 90, kini uzur, menghidap kencing manis, strok 2008, terlantar dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.
  • Berpengalaman sebagai editor The Star dan New Straits Times serta wanita pertama Pengarang Berita Berita Harian; dinobat Tokoh Wartawan Negara 2023.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyantuni dan menyampaikan sumbangan tersebut di kediaman beliau.

Datuk Fahmi berkata, Adibah menjadi penerima ke 671 di bawah inisiatif kebajikan tersebut yang bertujuan membantu pengamal media yang memerlukan.

Beliau berkata, kunjungan tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan, malah bagi menzahirkan penghargaan terhadap jasa Adibah sebagai antara tokoh penting dalam pembangunan kewartawanan negara.

Turut diserahkan adalah sumbangan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hari ini kami datang untuk melihat sendiri bagaimana keadaan beliau yang kurang sihat, kini mencecah 90 tahun dan tinggal bersama adik beliau.

Apa-apapun kami titipkan doa semoga beliau terus sihat. Insya-Allah pada bulan April nanti akan diadakan satu majlis untuk memperingati jasa dan segala hasil daripada bidang kewartawanan sewaktu beliau berkhidmat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Adibah di sini.

Turut hadir Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah; Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Pengarah ICU JPM Selangor, Najmuddin Jemain.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi turut menyeru wartawan generasi muda menjadikan Adibah sebagai teladan dalam memperkukuh kualiti pelaporan, etika kewartawanan serta memahami peranan media dalam membentuk negara bangsa.

Adibah, 90, kini berada dalam keadaan uzur berikutan faktor usia dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.

Beliau juga menghidap penyakit kencing manis dan selepas diserang strok pada 2008, kini terlantar serta tidak lagi mampu berjalan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai editor di akhbar The Star dan New Straits Times, selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Berita di Berita Harian.

Pada Jun 2024, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia bersempena dengan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.