PUTRAJAYA, 14 Jun- Tokoh-tokoh wanita dipelawa membuat permohonan ke Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) bermula 10 hingga 30 Jun 2024.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi kenyataan berkata permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KPWKM dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
"Borang permohonan yang lengkap bersama kertas cadangan pelaksanaan program juga boleh dihantar kepada pihak urus setia secara serahan tangan, pos, atau pun melalui e-mel.
"Permohonan dan pemilihan PERANTIS adalah berdasarkan syarat-syarat asas peraturan yang telah ditetapkan, dan garis panduan tatacara permohonan serta pelaksanaan PERANTIS boleh dirujuk melalui pautanhttps://bit.ly/perantis.
KPWKM berkata PERANTIS diperkenalkan berikutan pengumuman inisiatif RM5 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mac lepas sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, yang bertujuan memperkasa kepimpinan wanita melalui bimbingan tokoh wanita berjaya.
"Antara objektif PERANTIS ialah melahirkan lebih ramai pemimpin dalam kalangan wanita terutamanya di peringkat pembuat keputusan yang mampu untuk memimpin masyarakat ke arah negara maju dan berdaya saing.
"PERANTIS juga berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu dan kepakaran. Seterusnya mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita dan pemimpin pelapis atau bakat wanita", menurut kenyataan itu.
PERANTIS memberi keutamaan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan wanita dalam bidang ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan bidang profesional lain yang bersesuaian.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan PERANTIS boleh diajukan melalui urus setia PERANTIS iaitu Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan, JPW dengan menelefon 03-8323 1616/1618/1620/1596 atau email