fb fb fb fb fb

TNB kukuhkan sistem bekalan di Pantai Timur menjelang Aidiladha

FOTO TNB

KUALA LUMPUR, 13 Jun- Permintaan penggunaan tenaga elektrik di negeri-negeri di Pantai Timur, khususnya Kelantan dijangka meningkat sempena sambutan Aidiladha pada pertengahan bulan ini dengan ramai perantau merancang pulang berhari raya seperti mana perayaan Aidilfitri, April lalu.

Rekod Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagaimanapun menunjukkan bahawa gangguan voltan rendah melibatkan pelanggan domestik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini, menurun sebanyak 67 peratus sekalipun permintaan tertinggi meningkat sebanyak 27MW kepada 570MW dalam tempoh berkenaan.

TNB menerusi satu kenyataan memaklumkan, prestasi lebih baik itu berdasarkan gangguan voltan rendah di negeri berkenaan menurun daripada 1,966 dalam tempoh 12 hari mulai enam hari sebelum Aidilfitri tahun lalu kepada 657 dalam tempoh sama tahun ini.

"Gangguan ini adalah disebabkan permintaan bermusim meningkat dan membebankan sistem bekalan sedia ada sehingga memberi kesan kepada pepasangan TNB seperti talian atas bertebat, fius serta komponen peralatan yang lain.

"Justeru, TNB mengambil langkah untuk memperkukuhkan lagi sistem rangkaian pembahagian sempena jangkaan penggunaan meningkat pada sambutan Aidiladha, yang kebiasaannya lebih meriah di Pantai Timur.

"Antaranya, memperkukuh sistem voltan rendah (MSVR), meningkatkan kapasiti alatubah (ITC), mewujudkan pencawang baru khusus dilaksanakan melalui Ops Adha,"jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Nor Ismail, memaklumkan sebanyak 323 inisiatif dikenal pasti untuk dilaksanakan merangkumi kerja menaik taraf kapasiti alatubah pembahagian, membina pencawang baru dan projek pengukuhan sistem voltan rendah.

"Daripada segi pembinaan pencawang elektrik, 114 lokasi untuk diwujudkan pencawang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 30 tapak telah diberikan kemasukan awal. Baki 84 tapak masih menghadapi isu tanah sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pemilik tanah dan pihak berkuasa bagi menyelesaikannya,” jelas beliau.

Para pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menggunakan peralatan elektrik termasuk memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan, di samping mengamalkan bijak tenaga dengan mengunakan perkakasan cekap tenaga dan secara berhemah.

TNB juga menasihatkan pengguna untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB.


1306 TNB PANTAI TIMUR2Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Nor Ismail

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE