fb fb fb fb fb

TNB giat laksana kerja perkukuh struktur jambatan kabel runtuh

Foto arkib

GEORGE TOWN, 28 September - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat melakukan kerja memperkukuh jambatan kabel di tapak projek kabel bawah tanah 275kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bayan Lepas ke PMU Intel, yang sebahagiannya runtuh pada pagi Khamis lepas.

TNB dalam kenyataan menjelaskan langkah segera yang diambil itu termasuk menambah cerucuk di bahagian tengah jambatan bagi meningkatkan kekuatan struktur.

"TNB telah mengambil tindakan segera untuk membaiki jambatan kabel berkenaan dan tiada gangguan bekalan berlaku memandangkan ia adalah projek baharu yang belum dimula tugas."

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden ini," jelas kenyataan tersebut.

TNB pada masa sama memberi jaminan projek itu akan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam kenyataan sama, TNB memberitahu siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca runtuhan.

"Pelan mitigasi juga dirangka bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan."

"Pihak Intel telah dimaklumkan mengenai situasi ini dan TNB memberi jaminan insiden tersebut tidak menjejaskan projek-projek lain di Pulau Pinang," jelas kenyataan tersebut.

Trainee2