KUALA LUMPUR, 8 November- Malaysia yakin jumlah kedatangan pelancong asing akan kembali ke paras pra COVID-19, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahim berkata Malaysia menyasarkan untuk menarik 18 juta pelancong, menjelang akhir tahun ini sekali gus dijangka akan membawa pulangan pendapatan mencecah RM49.2 bilion.
Tahun Melawat Malaysia 2026 menawarkan daya tarikan produk pelancongan seperti ekopelancongan, inap desa dan juga produk baharu iaitu pelancongan berpengalaman (experiental tourism), dengan sasaran 26.1 juta pelancong asing.
"Banyak produk pelancongan seperti kraftangan dan seni serta budaya yang unik di Malaysia, masih menjadi produk penting untuk menarik minat pelancong ke tanah air seperti masakan dan makanan.
Johan Pertandingan Great British Bake-off 2022, Dr Syabira Yusof, warga Malaysia yang menetap di London turut serta untuk mempromosikan makanan-makanan dan tempat-tempat kegemarannya di tanah air," kata Datuk Roslan kepada pemberita pada World Travel Market 2023 di London, pada Selasa.
World Travel Market (WTM) merupakan satu-satunya acara tahunan yang penting bagi industri pelancongan global untuk memasarkan dan mempromosikan produk-produk pelancongan mereka kepada dunia.
Malaysia telah menyertai WTM untuk kali ke-49, dengan lebih 50 agensi pelancongan dan industri perhotelan menjadi wakil negara pada edisi kali ini.
Turut serta, Menteri Besar Melaka, Datuk Seri Ab Rauf bersama pasukan dalam mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024.
Selain itu, penyertaan Lembaga Pelancongan Sabah yang diketuai oleh Datuk Joniston Bangkuai, mengumumkan Kinabalu UNESCO Global Geopark kini diisytihar sebagai lokasi ketiga di dunia mendapat pengiktirafan dari badan dunia itu.