KUALA LUMPUR, 26 Februari - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyeru kerajaan agar merangka dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
Titah baginda, kegagalan menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya antara kaum menjadi faktor kepada ketidak sempurnaan hubungan perpaduan dalam kalangan generasi kini.
"Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai Bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.
"Oleh itu saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni", titah Sultan Ibrahim demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen di sini.
Sultan Ibrahim turut menasihati rakyat agar tidak memainkan isu sensitif melibatkan Raja, Kaum dan Agama (3R).
Tambah baginda lagi Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia namun agama-agama lain boleh diamalkan tanpa disebarkan kepada orang Islam.
Baginda juga bertegas agar tiada mana-mana pihak cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan berkenaan.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menggesa agar Malaysia perlu lebih tegas dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan di peringkat antarabangsa terutamanya isu yang melibatkan Palestin.
"Malaysia perlu menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera diaktifkan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepatkan kepada penduduk Gaza di Palestin.
Pada masa yang sama, baginda turut meminta agar Malaysia terus aktif berperanan dalam memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan, serta mengambil kira cabaran geopolitik dan perkembangan serantau (ASEAN).