PUTRAJAYA, 15 Mei - Isu titah adendum berkaitan tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan akan dibawa ke mesyuarat akan datang, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membincangkan isu berkenaan.
"Tidak, perkara itu tidak dibincangkan (hari ini)... mungkin bila Perdana Menteri kembali ke tanah air minggu depan.
"Tapi yang saya percaya, apa yang dimaksudkan (oleh Anwar) adalah mengikut proses (undang-undang)," katanya.
Dalam temubual 'In Coverstion With Prime Minister of Malaysia' sempena Forum Ekonomi Doha (DEF) 2024 di Qatar, Anwar berkata hukuman kepada bekas Perdana Menteri itu terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Anwar menegaskan, Najib perlu melalui proses yang sedang berjalan termasuk perbicaraan di mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).