PUTRAJAYA, 29 Oktober - Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Pelan Advokasi Mengurangkan Gula.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ia termasuk Kempen Kurangkan Gula 2023 dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kesan pengambilan gula berlebihan.
Pelan itu turut merangkumi kempen kurangkan gula kepada pengusaha gerai yang menjual minuman di Medan Selera di seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya.
"Dalam hal ini, penghargaan dan pujian saya tujukan kepada pihak pengusaha minuman di Medan Selera Presint 16 dan medan selera lain iaitu Medan Selera di Presint 8, Presint 9, Presint 11, Laman Perdana Presint 1, Laman Duta Presint 15 dan Food Truck Putrajaya yang telah menyahut cabaran dalam melaksanakan aktiviti mengurangkan gula di premis mereka." Dr Zaliha berucap pada mMjlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula 2023, di sini.
Teks dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKM, Datuk Zainal Alhakab Seman,
Tambah beliau, pengambilan gula yang berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, karies gigi dan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit yang lain.
Dr Zaliha turut berharap usaha sama dapat diteruskan di negeri-negeri lain bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih intensif dan menghasilkan impak positif.