IPOH, 21 Februari-Peniaga bazar Ramadan di Perak akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati menyewakan tapak kepada warga asing untuk berniaga di tapak bazar Ramadan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tindakan tegas itu termasuk membatalkan lesen serta menyenarai hitam peniaga tempatan sekiranya didapati melakukan kesalahan tersebut.
Jelas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Setiap kali kalau kita buat tawaran untuk gerai-gerai bazar Ramadan memang ada taklimat yang akan diberikan kepada pemohon supaya mereka faham apa peraturan dan tanggungjawab yang perlu mereka ikut.
"Ini termasuklah tidak boleh memberi lesen kepada pihak luar apatah lagi kepada pihak warga asing yang memang secara jelas tidak dibenarkan", katanya demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa premis hotel yang telah melaksanakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) di Ipoh.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pendaftaran 1,000 premis penginapan pelancong di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 sepanjang tempoh pemutihan pelaksanaan lesen hotel selama setahun hingga 30 Jun 2025.
Ujarnya, tempoh pemutihan itu sebahagian daripada usaha meningkatkan pemahaman dan kelancaran pelaksanaan enakmen berkenaan dengan semua PBT giat mengadakan sesi libat urus awam bersama pemilik premis penginapan atau pengusaha hotel.