
GOMBAK, 7 Februari – Kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan bagi tujuan menghasut kebencian atau mengganggu ketenteraman awam.
- Kerajaan menerima pandangan dan kritikan tetapi tidak akan kompromi terhadap penyalahgunaan kebebasan bersuara untuk menghasut kebencian.
- Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan tindakan tegas kepada pihak yang cuba mengambil alih peranan pihak berkuasa dan mengganggu keselamatan.
- Anwar menegaskan perpaduan kaum perlu dijaga; bantahan mesti melalui saluran sah dan undang-undang, bukan hasutan atau kekerasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan terbuka menerima sebarang pandangan dan kritikan, namun tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kebebasan bersuara.
“Hendak bagi pandangan boleh, hendak bagi kritikan boleh, ini negara bebas, Tapi kalau kamu ganggu gugat keselamatan negara dan kamu cuba khianati, persulitkan keselamatan dalam keadaan ada tamu negara kita, percayalah saya akan ambil tindakan maksimum.
“Boleh bantah, tetapi kalau gugat keselamatan, cuba guna hasutan begini, negara tidak akan selamat. Tanggungjawab saya jaga negara, bukan hendak jaga beberapa orang yang menjerit tidak tentu arah ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di sini.
Datuk Seri Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan bahawa sikap mahu menjadi ‘hero’ dengan memainkan isu sensitif agama dan kaum hanya akan mengorbankan perpaduan kaum serta keharmonian negara.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, mesej jelas telah disampaikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara supaya bertindak tanpa ragu-ragu terhadap sebarang cubaan mengambil alih peranan pihak berkuasa.
Katanya, tanggungjawab utama kerajaan adalah memastikan keselamatan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang serta menolak sebarang usaha meniup sentimen perkauman atau agama yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Ini negara kita bersama orang Melayu, Cina, dan India. Kita rangkul semua. Tunjukkanlah masih sayang. Apa salahnya warna kulit berbeza sedikit, hidung tinggi atau rendah? Mengapa perlu sampai membenci begitu?” katanya.
Berhubung isu rumah ibadat, Perdana Menteri berkata, sebarang bantahan berkaitan perkara itu boleh disuarakan melalui saluran sah dan mengikut undang-undang, termasuk mengemukakan memorandum atau bantahan rasmi, namun tidak boleh dilakukan dengan cara hasutan atau melanggar peraturan.
Datuk Seri Anwar juga mengakui tidak bersetuju dengan percambahan kuil yang dibina tanpa mengikut peraturan, sambil menegaskan semua pihak termasuk masjid atau gereja mesti mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi tujuan berkenaan.
Terdahulu, polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata keputusan itu dibuat setelah polis menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas pihak terlibat termasuk pemilik premis di sekitar lokasi berkenaan.