GEORGE TOWN, 16 Januari- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memuji tindakan berani anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Koperal Mazlan Abdul Rahman menyelamatkan dua mangsa dalam kejadian di Jambatan Pulau Pinang, kelmarin.
Menerusi hantaran di facebook Khaled berkata, keberanian anggota dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) itu wajar dicontohi dan perlu menjadi teladan kepada semua.
"Syabas dan terima kasih Koperal Mazlan Abdul Rahman atas tindakan berani dan pantas menyelamatkan nyawa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang.
"Keberanian ini boleh dijadikan contoh dan teladan buat semua, khususnya kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam hantaran itu.
Dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pusat bandar ke Perai itu, dua individu terselamat selepas kedua-dua mereka terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.
Kedua-dua individu berkenaan menaiki sebuah kereta dan dipercayai bertengkar sebelum terjatuh di jambatan berkenaan.