fb fb fb fb fb

Timbalan Menteri KPK ke China, lawatan kerja & promosi agrikomoditi

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Fong Hin/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Fong Hin akan mengetuai delegasi Malaysia ke China untuk lawatan kerja dan promosi agrikomoditi dari 8 hingga 12 Julai 2024.

Menerusi kenyataan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memaklumkan lawatan itu dianjurkan kementerian dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Dalam lawatan itu, Timbalan Menteri akan mengadakan pertemuan peringkat tinggi dengan rakan sejawatannya daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China, Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China serta Kementerian Perdagangan China.

Pertemuan itu untuk membincangkan isu-isu antara Malaysia dan China terutamanya mengenai perdagangan agrikomoditi.

Selain itu, Timbalan Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Industri Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-15 yang akan menekankan kepentingan minyak sawit dan peranannya dalam keterjaminan makanan global.

Beliau juga akan menekankan komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit mampan melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan menggariskan hubungan perdagangan yang penting antara kedua-dua negara.

ROSLINA BINTI DIN