fb fb fb fb fb

Tilawah al-Quran: MCMC panggil empat pemilik akaun FB

Foto FB MCMC

KUALA LUMPUR, 6 April -Empat pemilik akaun Facebook yang disyaki membuat penghantaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Tilawah al-Quran, telah dipanggil oleh MCMC, untuk siasatan dan rakaman percakapan, semalam.

Menerusi kenyataan MCMC memaklumkan, semua data yang dimuat naik individu berkenaan telah direkodkan sebagai bahan bukti, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beberapa lagi individu, akan dipanggil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"MCMC sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Tilawah al-Quran.

"Orang ramai dinasihat tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian, untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu", maklum MCMC dalam kenyataan berkenaan.

Dakwaan di akaun Facebook dan X kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan Tilawah al-Quran, sebaliknya hanya fokus kepada penganjuran konsert, tular sejak beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Rabu lepas dengan memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah ditetapkan pada 23 hingga 28 Mei di Kuantan, Pahang.

Manakala, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan berlangsung pada 5 hingga 12 Oktober depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD