fb fb fb fb fb

Tiga universiti awam bakal terima perkhidmatan internet fasa pertama

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Disember- Semua universiti awam akan dilengkapi dengan perkhidmatan internet, dengan fasa awal melibatkan tiga universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perkara itu telah dipersetujui pada 5 Disember lalu dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bersama semua naib canselor serta pihak Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau menyatakan bahawa pemasangan peralatan Wi-Fi akan bermula pada Januari tahun hadapan.

"Menteri Pendidikan Tinggi telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang usaha pihak KPT melengkapkan semua universiti awam dengan perkhidmatan internet," katanya dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi di sini.

Beliau turut berharap pemasangan akan selesai dalam masa terdekat, dimulai dengan tiga universiti tersebut sebelum diperluaskan ke universiti-universiti awam lain.

Dalam pada itu, Fahmi berkata had kadar insurans perubatan akan diumum oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat.

"Perdana Menteri sudah memaklumkan perkara ini pada sesi soal jawab Perdana Menteri selasa lepas, bahawa BNM akan membuat penilaian, perbincangan dan akhirnya nanti mengumumkan satu keputusan hasil daripada isu kadar insurans, " katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM