fb fb fb fb fb

Tiga remaja maut kemalangan, tiga lagi cedera parah

Tiga remaja lelaki maut di tempat kejadian selepas berlanggar sesama sendiri/Foto PDRM

KOTA BHARU, 16 April - Tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer (KM) 9.9, Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam tadi, sekumpulan remaja lelaki itu menunggang motosikal dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu secara berkumpulan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila, dua motosikal yang berada di hadapan berlanggar sesama sendiri dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang mula-mula terjatuh dan berada di atas jalan.

"Situasi bertambah teruk apabila ia turut dilanggar oleh empat lagi motosikal yang berada dibelakang dan salah sebuah motosikal terbabit turut merempuh sebuah kereta yang sedia ada berhenti di lorong kecemasan.

"Kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa berusia 19 hingga 21 tahun meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk dibedah siasat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, tiga lagi penunggang motosikal parah dan masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya, kejadian berlaku dipercayai sikap penunggangan motosikal dalam kelajuan tinggi sehingga menyebabkan penunggang tidak dapat bertindak awal selain kesukaran melihat dalam suasana yang gelap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kami meminta orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu," ujarnya lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN