KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Kewangan Islam berpotensi memacu ekonomi melalui tiga prinsip utama iaitu maqasid syariah, inovasi, dan integrasi global.
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prinsip itu akan menerapkan maqasid syariah dalam beberapa aspek termasuk reformasi ekonomi dan kelestarian.
Ia berikutan konsep itu dilihat mampu mengukuhkan integrasi global bagi pembangunan dan kesejahteraan sejagat.
"Saya memuji industri kewangan Islam Malaysia yang telah melangkah jauh lebih awal, iaitu lebih setengah dekad lalu, dengan mengadaptasi Pendekatan Berasaskan Nilai (VBI).
"Penyelarasan strategik ini bersama Maqasid Shariah telah memberi kelebihan kepada industri ini berbanding sektor lain yang masih di peringkat awal dalam perjalanan etika dan kelestarian," katanya dalam Majlis Perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-19 tahun 2024 di ibu negara.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai Belanjawan 2025, Abdul Rasheed menyifatkan peruntukan dana padanan RM100 juta bagi struktur perkongsian risiko mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong inovasi kewangan.
Sehubungan itu, beliau menggesa industri kewangan untuk memanfaatkan dana tersebut, khususnya dalam membiayai inisiatif berkaitan peralihan iklim dan keselamatan makanan.
Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-19 tahun 2024 bertemakan 'Menghidupkan Semula Ekonomi Melalui Kewangan Islam' berlangsung hingga esok.
Ia merupakan platform perbincangan, perdebatan dan penyelesaian berdasarkan pengetahuan serta pengalaman, sekali gus meningkatkan daya tarikan kewangan Islam di rantau Asia Pasifik.