fb fb fb fb fb

Tiga PPS lagi dibuka di Kelantan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 2 Disember- Tiga lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kelantan hari ini.

Menurut InfoBencanaJKM, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Klewek dan PPS Balai Raya Padang Kijang di jajahan Tanah Merah dibuka kira-kira pukul 10.00 pagi tadi bagi menempatkan seramai 36 penduduk terjejas banjir daripada 14 keluarga.
 
"Di jajahan Kota Bharu pula, PPS Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong yang dibuka sekitar 8.00 pagi tadi pula menempatkan seramai 19 penduduk terjejas banjir daripada lima keluarga.
 
"Ia menjadikan keseluruhan seramai 1,005 penduduk terjejas banjir daripada 327 keluarga ditempatkan di lapan PPS di negeri itu setakat pukul 12.00 tengah hari tadi membabitkan jajahan Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang dan Bachok.
 
"Di Pasir Mas, 618 penduduk terjejas banjir daripada 213 keluarga ditempatkan di dua PPS membabitkan PPS SK Gual Tok Deh dan PPS SMK Baroh Pial.
 
"Manakala, Bachok pula, seramai 320 penduduk terjejas banjir daripada 91 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di PPS SK Jelawat dan PPS SMK Beris Panchor.
 
"Satu PPS di Machang melibatkan PPS SK Pulai Chondong menempatkan 12 penduduk terjejas banjir daripada tiga keluarga," katanya.
 
Dalam pada itu, kedua-dua PPS di Johor ditutup sepenuhnya pada pukul 12.00 tengah hari tadi.

Tinjauan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kampung Paya Kenangan, Johor Bahru menyaksikan penduduk terjejas mula kembali ke rumah untuk proses pembersihan pada pagi tadi.

Cuaca baik sejak pagi semalam menyaksikan paras air banjir surut dengan cepat dan membolehkan penduduk kembali untuk proses pembersihan rumah.

Sejak dibuka Khamis lalu, lebih 560 penduduk telah dipindahkan ke PPS melibatkan SK Bukit Mutiara dan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM