fb fb fb fb fb

Tiga penuntut UiTM Dungun maut dirempuh wanita dipercayai sakit mental

Foto RTM

DUNGUN,10 Oktober-Tiga penuntut lelaki Universiti Teknologi Mara UiTM Kampus Dungun maut dan seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan SUV, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Wan Rukman Wan Hasan ketika dihubungi berkata  tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Tukirin, 25 tahun.

Kesemua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20 tahun.

Ketika kejadian, empat pelajar yang menunggang dua buah motosikal dikatakan baru sahaja selesai makan malam di sebuah kedai berhampiran kampus tersebut.

Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka secara tiba-tiba dirempuh Honda CRV yang dipandu seorang wanita dipercayai kurang siuman dari arah belakang.

Ketiga-tiga mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang cedera pula telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD