
GUA MUSANG, 14 Januari – Ahli keluarga tidak menyangka rakaman video kemalangan tiga maut yang tular di media sosial rupa-rupanya melibatkan ahli keluarga mereka sendiri.
- Tiga maut dalam nahas antara MPV dan van di Kilometer 55, Jalan Gua Musang–Kuala Krai.
- Kematian termasuk seorang CEO syarikat pengangkutan dan dua pekerjanya.
- Pemandu MPV cedera tetapi terselamat, alami kecederaan pada kaki, paha dan kepala.
- MPV dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus.
Kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van di Kilometer 55, Jalan Gua Musang–Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh, pada Selasa.
Rakaman kejadian berkenaan mula tular sejak kira-kira pukul 1.30 tengah hari menerusi aplikasi TikTok, Facebook dan WhatsApp.
Bapa mentua kepada Allahyarham Nik Azmi Nik Othman, Mat Jusoh Muda berkata, menantunya merupakan bekas anggota tentera di Kem 506, Askar Wataniah Pengkalan Chepa berpangkat Pegawai Waran I dan berpencen pada 2024 selepas berkhidmat selama 26 tahun.
“Dia (anak) telefon menangis, dia kata ‘Pok, Nik dah meninggal’. Saya suruh sahkan, lepas itu anak lain telefon kata betul dia meninggal. Minggu lepas kali terakhir jumpa hari Sabtu, dia balik ke Chiku,” katanya.
Sementara itu, adik ipar allahyarham, Mohd Shahril Razali menyifatkan Nik Azmi sebagai seorang yang sangat baik, menghormati orang tua dan tidak berkira dengan adik-beradik serta rakan.
“Kali terakhir jumpa minggu lepas di rumah saya ada majlis makan. Biasanya lama dia di rumah, tapi hari itu dia nampak terburu-buru nak balik, pelik sikit. Lepas makan dia terus kata nak balik,” katanya.
Terdahulu, hasrat seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api bersama tiga pekerjanya untuk menghadiri kursus di ibu negara tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam nahas berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, Nik Razizi Nik Rahim, 55 tahun, yang juga CEO syarikat tersebut bersama dua pekerjanya, Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33 tahun dan Nik Azmi Nik Othman, 47 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemandu MPV berkenaan, Nik Mohd Faizol Nik Abd Aziz, 42 tahun, terselamat namun mengalami kecederaan pada bahagian kaki, paha dan kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Penguasa Polis Supt Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus ketika kemalangan berlaku.